SHAH ALAM, 1 JAN: Lebih 140,000 orang dari pelbagai lapisan usia
hadir membanjiri Dataran Kemerdekaan, Shah Alam bagi memeriahkan Program
Jom Santai Bersama GeMS kelolaan Kerajaan Negeri sempena ambang 2013 di
sini malam tadi.
Program GeMS – Generasi Idaman Selangor, itu diadakan dengan
pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat
santai.
Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ia memberi nafas baru kepada penganjuran majlis.
Terdahulu, program terbabit berlangsung selama tiga hari bermula 29
hingga 31 Disember dengan pelbagai program menarik termasuk Karnival
Pendidikan Selangor- EduSEL Fair 2012.
Selain itu, turut diadakan ceramah santai yang bertajuk SPIES
membentuk masyarakat sejahtera yang menampilkan Dr Ruziah Ghazali, Ustaz
Shukri Yunus dan Ustaz Fauzi Mustafa.
Forum Jom Bercinta yang membariskan panel Ustazah Fatimah Syarha dan
pelakon, Shamsul Ghau-Ghau dan ceramah ilmuan bersama Ustaz Datuk Ismail
Kamus.
Manakala, sambutan kemuncaknya diadakan program sambutan Ambang 2013
dengan menyaksikan persembahan sajak daripada pelakon, Diana Amir dan
Sembang Santai bersama Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Haslin ‘Bollywood’,
Datuk Malek Noor, Kamal Adli, Pierre Andre dan Aziz M.Osman.
Gabungan
golongan agama dari generasi lama dan baru dan artis popular itu
berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal
hingga akhir.
Malah detik sambutan tahun baru yang berakhir 1 pagi itu diakhiri
dengan nyanyian nasyid ‘Asma Ul Husna’ oleh semula jemputan dan Exco
Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali, Dr Yaakop Sapari dan Rodziah Ismail, Dr
Yunus Hairi dan Ketua AMK negeri, Azmizam Zaman Huri.
Ia disusuli dengan bacaan doa penutup oleh Ustaz Azhar Idrus.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr
Halimah Ali ketika ditemui selepas majlis berkata beliau amat berpuas
hati dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk di negeri itu.
Katanya, cara pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Negeri ternyata dapat diterima oleh rakyat.
“Dengan menggunakan artis dan diselitkan unsur keagamaan untuk mendekatkan masyarakat muda ternyata berjaya.
“Alhamdulillah
sambutan kali ini lebih ramai berbanding tahun lalu. Bukan sahaja
golongan muda tetapi juga golongan yang sudah berusia datang memeriahkan
majlis.
“Ini adalah antara sebahagian daripada program anti- zina jadi kalau
Kerajan Negeri tidak menguruskan keperluan, minat, citarasa, ciri-ciri
orang muda itu kepada program yang bersifat positif maka mereka akan
tertarik kepada program yang negatif dan seterusnya terjebak di dalam
gejala sosial,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat akan terus
memastikan rakyat di negeri itu mendapat manfaat daripada apa yang
dilakukan.
“Sekiranya kami masih kekal menerajui Selangor, rakyat jangan bimbang
kerana Pakatan Rakyat akan memastikan warisan budaya, seni dan agama
untuk terus diperjuangkan,” katanya.
Pengunjung, Mohd Lazim Mustafa, 52, berkata sambutan ambang 13 yang
diadakan pada tahun ini lebih meriah daripada tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah
tahun ini lebih ramai. Apa yang lebih penting lagi saya lihat
penganjuran kali ini banyak aktiviti dan program yang bermanfaat
dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, bagi Rosmawati Kamaruddin, 33, berkata program yang
dilihatnya lebih berunsurkan ilmiah itu dapat memberi manfaat kepada
setiap lapisan.
“Apa yang saya lihat, program kali ini memberi banyak faedah bukan
sahaja golongan muda tetapi juga golongan berusia dan kanak-kanak. Semua
lapisan dapat manfaat daripada aktiviti yang dilakukan oleh Kerajaan
Negeri,” katanya.
Manakala, Ikhwan Mokhtar, 23, berharap program yang berunsurkan ilmiah seperti itu akan terus diadakan pada masa akan datang.
“Walaupun sebagai anak muda, saya memilih untuk menghadiri program
yang dianjurkan Kerajaan Negeri ini berbanding program berbentuk hiburan
yang dianjurkan pihak lain.
“Bagi
saya ia kerana saya merasakan diri menjadi lebih tenang. Ini merupakan
tahun kedua saya hadir ke sambutan tahun baru di Selangor ini,
alhamdulillah saya lihat ramai anak muda yang datang,” katanya.
selangorku









No comments:
Post a Comment