Rujukan Maklumat

PENYOKONG BN BUAT PROVOK JATUH MOTOR, DIBANTU UNIT AMAL

Saturday, 10 November 2012

JANJI TAK DITEPATI - PROJEK TAHUN 90AN MASIH TERBENGKALAI!!


Suhaimi (berbaju jingga) menyerahkan memorandum kepada Tuan Ibrahim bagi membantu mendesak kerajaan negeri meneruskan projek
KAMPUNG GUAI – Penduduk persoal kegagalan Kerajaan Persekutuan menyiapkan projek jalan persisiran Sungai Pahang sepanjang 15 kilometer bermula sempadan Bera-Temerloh dekat Kampung Tanjung Batu hingga ke Kampung Lubuk Paku, Maran.

Projek bernilai RM48 juta itu pernah diperuntukkan menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) tetapi hanya 10 kilometer sahaja siap dengan kos RM20 juta yang kini dinikmati lebih 3,000 penduduk di beberapa kampung di sini.


Sementara baki RM28 juta pula dipulangkan kepada Kerajaan Persekutuan apabila LKWJ dibubarkan sekitar tahun 1990-an namun sehingga kini, tiada tindakan penyambungan kerja projek dilaksanakan.

Projek wajar diteruskan
Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Bera, Musaniff Abd Rahman berkata, bagi projek jalan terbengkalai, penduduk masih menggunakan jalan lama yang dinaik taraf sedikit demi sedikit namun dikhuatiri jalan terhakis kerana bersebelahan dengan Sungai Pahang.

Menurutnya, seharusnya projek itu diteruskan walaupun LKWJ dibubarkan kerana projek itu adalah untuk rakyat, bukan LKWJ.

“Peruntukan itu daripada Kerajaan Persekutuan dan tidak kira siapa pun yang diamanahkan untuk melaksanakan projek itu, seharusnya ia diteruskan.

“Tindakan membatalkan projek ekoran LKWJ dibubar adalah tidak wajar kerana kerajaan sepatutnya meneruskan projek terbabit pada ketika itu dengan membayar kepada pihak kontraktor terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa persinggahan di kawasan projek terbengkalai ini dalam Program Cakna Rakyat, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Negeri, Roslan Zainal dan YDP Pas Kawasan Bera, Sulaiman Mohamad.

Musaniff berkata, bagi melaksanakan projek itu, kerja pengambilan tanah dan pembayaran pampasan kepada golongan terlibat sudah pun selesai, bagaimanapun isu ini masih berlarutan malah semakin rumit.
Diguna sebagai jalan pertanian.

Sementara itu, wakil penduduk, Suhaimi Abdul Manan berkata, penduduk sememangnya memerlukan jalan ini kerana ia boleh digunakan sebagai laluan untuk mengeluarkan hasil pertanian.

Katanya, buat masa ini, mereka terpaksa menggunakan laluan sedia ada yang sempit dan mudah terdedah kepada banjir setiap kali musim tengkujuh.

“Kita mahu projek ini diteruskan walaupun bukan di bawah LKWJ kerana laluan ini sepatutnya menjadi jalan negeri dan bukan jalan PLB.

“Pampasan sudah dibayar kepada penduduk tetapi jalan tidak siap sekali gus menyebabkan pembaziran wang kerajaan dan tidak wajar berlaku kerana banyak lagi projek lain perlu dibangun dengan peruntukan itu,” katanya.

Menurut Suhaimi, walaupun perkara ini sudah beberapa kali dibincang dalam mesyuarat namun sehingga kini tiada tindakan dilakukan melainkan menaik taraf jalan sedia ada dengan melebarkan laluan itu.

Mahu kerajaan bertindak
Tuan Ibrahim berkata, perkara ini mesti diberi perhatian serius Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk kebaikan lebih 3,000 penduduk di sini.

Katanya, penduduk bersyukur dengan kerja naik taraf di sepanjang 10 kilometer itu tetapi kecewa dan terkilan apabila baki 15 kilometer dipandang sepi.

“Kita desak Kerajaan Negeri ambil tindakan segera untuk meneruskan pembinaan jalan bagi membuktikan bahawa kerajaan benar-benar membela nasib rakyat seperti digembar-gembur selama ini.

“Keadaan ini tidak sesuai dengan slogan mereka iaitu ‘Janji Ditepati’ kerana apa yang dijanjikan sekitar 1990-an tidak ditunai menyebabkan rakyat menderita,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, walaupun penduduk ada jalan pengangkutan lain tetapi itu bukan jaminan kepada mereka bahawa jalan itu selamat.

Katanya, sekiranya projek terbengkalai itu disiapkan, ia memudahkan penduduk untuk ke beberapa destinasi sehingga ke Kampung Lubuk Paku, Maran dalam masa yang singkat berbanding sekarang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive