Rujukan Maklumat

PENYOKONG BN BUAT PROVOK JATUH MOTOR, DIBANTU UNIT AMAL

Wednesday, 24 October 2012

FAKTA- FAKTA TENTANG QISAS,HUDUD & TAKZIR YANG PERLU KITA KETAHUI!!


Di tengah-tengah kemelut isu hudud ini..
adalah lebih baik kita ambil kesempatan ini untuk berkongsi sesama kita mengenai hudud...

Agar yang tak tahu menjadi tahu...
yang tahu pula boleh menyampaikan dan menyebarkan,supaya kita memahami apa itu hukum-hukum di dalam Islam..

Sebab baru-baru ini aku terbaca tentang komen seorang rakan di Facebook yang memuji hukum Allah dan beliau memberikan contoh hukuman Allah itu sebagai antaranya adalah hukuman gantung yang diamalkan dinegara ini...
maknanya ramai yang masih tidak tahu dengan begitu jelas tentang hudud ini...


Mari kita sama-sama hayati...
 
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Islam adalah agama yang paling lengkap meliputi soal yang berhubung kait dengan ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah. 

Para Fuqaha telah menyusun secara terperinci berdasarkan dalil dan hujjah mengikut 4 bahagian sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
 
UNDANG-UNDANG JENAYAH SYAR'IYAH
Undang-undang jenayah syar'iyah atau Kanun Jinayah Syar'iyah ialah undang-undang syarak yang bersabit dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seseorang yang boleh didakwa di bawah kes jinayah syar'iyah.

PENGERTIAN JENAYAH
Melakukan sesuatu perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T atau meninggalkan sesuatu perkara yang disuruh olehnya.

PENGERTIAN JENAYAH MENURUT FUQAHA
Jenayah menurut fuqaha ialah perbuatan atau perilaku yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa  atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja.

HUKUM-HUKUM JENAYAH ISLAM
Hukum-hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga bahagian:
a.     Hukum Qisas
b.     Hukum Hudud
c.     Hukum Ta'zir

PENGERTIAN QISAS
Qisas dari sudut bahasa bermaksud memotong. Manakala dari sudut syara' ialah hukuman balas bagi kesalahan membunuh dibalas dengan bunuh, menghilangkan salah satu dari anggota orang lain atau melukakannya atau mencederakannya dibalas dengan hukuman mengikut jenis kesalahan yang dilakukannya.

Firman Allah S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas(balasan yang seimbang) dalam perkara orang mati dibunuh"  
(Surah al-Baqarah :178)

"Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa" 
 (Surah al-Baqarah:179)

JENIS JENAYAH QISAS
Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah:
  1. Membunuh dengan sengaja (Dengan niat membunuh dan dengan senjata yang boleh membunuh pada adatnya).
  2. Menghilangkan atau mencederakan anggota tubuh badan dengan sengaja seperti mata, hidung, telinga dan sebagainya.
  3. Melukakan orang lain dengan sengaja.
HUKUMAN TERHADAP KESALAHAN QISAS.
Mengikut Hukum Islam, qisas hendaklah dilakukan terhadap penjenayah dengan hukuman yang sama seperti mana dia melakukan kepada mangsanya. Membunuh dibalas dengan dibunuh, melukakan dibalas dengan dilukakan dan mencederakan dibalas dengan mencederakannya.

DIYAT
Diyat ialah denda yang wajib dibayar oleh orang yang melakukan jenayah kerana kesalahan jenayahnya sebagai ganti qisas.
Apabila keluarga orang yang dibunuh ( Pembunuhan sengaja) atau orang yang dihilangkan atau dicederakan anggota atau yang dicederakan memaafkan, maka diganti dengan diat. Hanya waris sahaja yang boleh memaafkan tetapi bukan pemerintah ).

KADAR DIYAT
Diyat terbahagi kepada 2 jenis:
  1. Diyat Mughallazah ( ganti kerugian yang berat )
  2. Diyat Mukhaffafah ( ganti kerugian yang ringan )
Diyat Mughallazah adalah satu diyat penuh iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara terus (tanpa tangguh) sebagaimana yang berikut:
  1. 30 ekor  unta berumur 4 tahun
  2. 30 ekor unta berumur 3 tahun
  3. 40 ekor unta yang sedang bunting
Diyat Mughallazah juga boleh dibayar dengan bayaran-bayaran berikut:
  1. 33 ekor unta berumur 4 tahun
  2. 33 ekor unta berumur 3 tahun
  3. 34 ekor unta yang sedang bunting.
Diyat Mukhaffafh juga adalah satu diyat penuh iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur (tangguh)selama 3 tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyat  sebagaimana yang berikut:
  1.  20 ekor unta umur 4 tahun
  2. 20 ekor unta umur 3 tahun
  3. 20 ekor unta betina umur 2 tahun
  4. 20 ekor unta jantan umur 2 tahun
  5. 20 ekor unta betina umur 1 tahun
Kadar diyat adalah dikira mengikut bilangan unta dengan harga semasa  iaitu harta yang paling bernilai ketika itu. Kadar penuh untuk satu diyat penuh ialah 100 ekor unta. Walau bagaimanapun , para ulama' berpendapat boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Diantaranya ialah:
a.     Wang Emas         -           1,000 dinar
b.     Wang Perak         -           10,000 dirham
c.     Lembu                 -           200 ekor
d.     Kambing             -           2,000 ekor
e.     Persalinan         -           200 persalinan lengkap.

Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyat penuh ialah RM 400,000. Manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyat penuh.

Bagi pesalah perempuan diyat mereka adalah separuh dari diat lelaki dan diat hamba adalah separuh dari diyat orang merdeka.

Diyat Mughallazah di kenakan kepada orang yang membunuh secara sengaja (niat membunuh dan dengan senjata yang boleh membunuh ) dengan syarat dimaafkan dan dipersetujui oleh waris orang yang dibunuh. Diyat tersebut hendaklah dibayar secara tunai tanpa bertangguh atau beransur.

Diyat Mukhaffafah pula ialah bagi pembunuhan tidak sengaja ( seperti tertembak rakan yang disangkanya binatang buruan ) atau pembunuhan yang seperti sengaja ( tidak niat membunuh dan dengan benda yang lazimnya tidak boleh membunuh ). Boleh dibayar secara beransur-ansur selama 3 tahun.

DIYAT MENGHILANG ATAU MENCEDERAKAN ANGGOTA
Menghilangkan atau mencederakan anggota tubuh badan dengan sengaja seperti mata, hidung, telinga dan lain-lain dikenakan qisas sebagaimana kehilangan dan kadar kecederaan anggota. Tetapi jika orang yang terkena dengan jenayah tersebut memilih untuk mengganti dengan diyat maka kadarnya adalah seperti berikut:
  1. 100 ekor unta untuk anggota tunggal sepert terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh badan dan hilang keupayaan bersetubuh.
  2. 50 ekor unta untuk anggota berpasangan seperti dua mata dan lain-lain. Jika kedua-duanya maka diyatnya 100 ekor unta.
  3. 33 ekor unta untuk luka yang sampai ke dalam bahagian otak.
  4. 33 ekor unta untuk luka yang sampai keselaput kepala.
  5. 25 ekor unta untuk anggota yang berpasang yang mempunyai kelopak seperti 4 kelopak mata.
  6. 15 ekor unta untuk luka yang sampai ketulang dan mematahkannya sehingga tergeser dari tempatnya.
  7. 10 ekor unta bagi luka yang memecah atau mematah tulang.
  8. 10 ekor unta untuk anggota yang mempunyai 10 sendi atau bahagian seperti jari tangan dan kaki.
  9. 5 ekor unta untuk luka yang menampakkan tulang
PENGERTIAN HUDUD
Hudud dari sudut bahasa membawa maksud menahan atau mencegah. Manakala dari segi istilah ialah keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib dilaksanakan  sebagai hak Allah S.W.T atau merosakan kepentingan masyarakat umum dan ketenteraman orang ramai iaitu berzina, menuduh orang berzina, minum arak, memcuri, murtad, merompak dan memberontak . Kadar hukumannya adalah mandatori dan tidak boleh dipinda samaada dikurang atau ditambah.

Firman Allah S.W.T:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"(Surah al-Baqarah:229)

JENIS-JENIS JENAYAH HUDUD DAN HUKUMANNYA
Kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam hukuman hudud ialah sebagaimana berikut:
a.   Zina
Persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dan perempuan. Hukumannya ialah direjam sampai mati jika telah berkahwin dan sebat 100 kali jika pesalah belum pernah berkahwin.
b.   Qazaf ( Menuduh berzina )
Melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik. Hukumannya ialah 80 kali sebatan.
c.    Minum Arak
Minum minuman yang memabukkan dan boleh menghilangkan kewarasan    akal. Hukumannya ialah 40 kali sebatan.
d.   Mencuri
Mengambil harta orang lain secara senyap atau bersembunyi. Hukumannya adalah potong tangan.
e.   Merompak
Mengambil hatra orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman. Hukumannya ialah:
  1. Sekiranya membunuh hendaklah dibunuh.
  2. Sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong tangan dan kaki secara bersilang seperti tangan kanan dengan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan yang seterusnya.
  3. Sekiranya hanya mengganggu ketenteraman awam dendaklah di ta'zir seperti dipenjara dan lain-lain lagi.
f.    Murtad
Keluar dari agama Islam samaada dengan perkataan atau perbuatan. Hukumannya ialah bunuh ( setelah diberi tempoh untuk bertaubat )

PENGERTIAN TA'ZIR
Ta'zir dari segi bahasa bererti menolak atau menghalang. Dari segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam al-quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaaannya tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.
KESALAHAN YANG TERMASUK DI BAWAH KATEGORI TA'ZIR.
Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategori ta'zir ialah sebagaimana berikut:
  1. Kesalahan-kesalahan hudud dan qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud dan qisas.
  2. Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab, lesbian dan sebagainya.
  3. Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat,berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.
HUKUMAN BAGI KESALAHAN TA'ZIR
Hukuman ta'zir diserahkan kepada budi bicara hakim supaya hukuman tersebut memberi pengajaran supaya penjenayah serik untuk melakukan semula. Antara hukuman-hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah sebagaimana berikut:
a.   Nasihat
Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.
b.   Teguran
Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha memperbaiki dirinya.
c.   Ancaman
Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.
d.   Pemulauan
Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersepit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat.
e.   Pengisytiharan Umum
Membuat pengistiharan kepada umum terhadap kesalahan penjenayah supaya penjenayah berasa malu dan tertekan.
f.    Denda dan merampas harta
Mengenakan denda dalam bentuk wang dan sebagainya atau merampas harta bendanya.
g.   Penjara
Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut realiti semasa.
h.   Sebat
 Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu.
 i.     Buang daerah
 Mengenakan hukuman buang daerah supaya pesalah rasa tertekan, mengalami kesukaran, kesusahan dan terpisah dari kaum keluarga
j.     Bunuh
Dibenarkan oleh syara' bagi menjaga kemaslahatan awam jika difikirkan sesuai
HIKMAH PERLAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH ISLAM
  1. Melindungi masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum berlaku
  2. Memperbaiki penjenayah dan memperbetulkan penyelewengan.
  3. Membersihkan dosa penjenayah, mendidiknya dan menyelamatkannya daripada azab akhirat.
Disusun Oleh:
Hj. Khairuddin bin Haiyon

PP Bahagian Dakwah (Unit Penerangan dan Penerbitan)

Jabatan Agama Islam Selangor 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive